Kegagalan Buah Pinggang
Apa yang berlaku apabila buah pinggang kita gagal berfungsi?
Buah pinggang tidak dapat membersihkan bahan buangan toksik dari dalam darah.
Buah pinggang tidak mengeluarkan lebihan cecair dengan baik.
Ia boleh memberi kesan kepada tekanan darah anda yang tidak stabil.
Ia boleh menyebabkan anemia dan penyakit tulang.
Adakah jangkitan saluran kencing berulang menyebabkan penyakit buah pinggang?
Dalam kes seperti ini terutamanya golongan wanita, jangkitan pundi kencing sering berlaku.ini adalah kerana bakteria mudah menyusup masuk ke pundi kencing dari tiup uretra.
Ini biasanya tidak merosakkan buah pinggang dan tidak berkaitan dengan penyakit buah pinggang, tetapi ianya berkaitan dengan masalah pundi kencing.
Walau bagaimanapun jika masalah tersebut berlaku pada kaum lelaki dan kanak, pemeriksaan harus dijalankan dengan segera kerana dikhuatiri terdapat masalah pada pundi kencing mereka.
Adakah penyakit batu karang yang berulang-ulang akan menyebabkan kerosakan buah pinggang?
Secara umumnya, penyakit batu karang berulang tidak membawa kepada kerosakan buah pinggang.
Tetapi ia boleh menyebabkan buah pinggang rosak jika batu karang tersebut berada dalam buah pinggang dalam jangka masa yang lama.
Bolehkah batu karang di dalam buah pinggang dikeluarkan oleh ubat-ubatan?
Kebanyakan batu-batu kecil boleh dirawat dengan pengambilan air yang berlebihan, perubahan dalam diet dan ubat-ubatan.
Kira-kira 90 peratus daripada batu-batu akan keluar melalui air kencing dengan sendirinya dalam masa tiga hingga enam minggu.
Sesetengah jenis batu kadang-kadang boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan.
Bolehkah penggunaan jangka panjang analgesik (ubat penahan sakit) menyebabkan kegagalan buah pinggang?
Ubat tahan sakit adalah bertujuan untuk melegakan kesakitan.
Antara ubat tahan adalah seperti paracetamol, aspirin, ponsten dan lain-lain.
Ia tidak mendatangkan bahaya sekiranya diambil dalam dos yang rendah dibawah pengawasan dan nasihat doktor.
Tetapi jika seseorang kerap mengamalkan ubat tahan sakit, dalam jangka masa panjang, buah pinggang boleh menjadi rosak.
Kebanyakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang adalah yang dikumuhkan hanya melalui buah pinggang.
Pelbagai jenis masalah boleh disebabkan oleh pengambilan ubat tahan sakit setiap hari berpanjangan selama bertahun-tahun. nefropati analgesik adalah penyakit buah pinggang kronik yang secara beransur-ansur membawa kepada peringkat akhir penyakit buah pinggang dan akan menyebabkan pesakit perlu untuk membuat rawatan dialisis sepanjang hayat atau melakukan pemindahan buah pinggang untuk pesakit meneruskan kehidupan.
Dinasihatkan kepada mereka yang ingin mengambil ubat tahan sakit supaya meminta nasihat dari doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya kerana mungkin terdapat alternatif lain yang dapat disyorkan oleh doktor.
Adakah benar bahawa hanya orang tua boleh menghidapi masalah kegagalan buah pinggang?
Masalah kegagalan buah pinggang tidak mengira peringkat umur.
Secara umumnya, penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi adalah punca masalah kegagalan buah pinggang sering terjadi di kalangan orang yang berusia.
Bolehkah penyakit kegagalan buah pinggang diubati?
Malangnya, penyakit kegagalan buah pinggang tiada penawarnya.
Tetapi dengan rawatan yang betul anda masih berpeluang untuk terus hidup.
Menghidapi masalah kerosakan buah pinggang bukanlah bermakna anda harus berputus asa.
Ada orang yang masih mampu untuk hidup aktif walaupun mereka terpaksa menjalaninya dengan buah pinggang yang telah rosak.
Berapa lama seseorang boleh hidup dengan satu buah pinggang?
Selagi buah pinggang seseorang sihat dan tidak bermasalah , walaupun hanya dengan sebelah buah pinggang, seseorang masih boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Rawatan Hemodialisis
Berapa kerap saya perlu menjalani rawatan hemodialisis?
Pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya 3 hari setiap minggu.
Berapa lama proses rawatan hemodialisis?
Rawatan hemodialisis biasanya mengambil selama 4 jam setiap sesi, mengikut nasihat dari doktor pakar nefrologi.
Adakah rasa sakit semasa menjalani rawatan dialisis?
Rawatan dialisis tidak sepatutnya memberi kesakitan.
Untuk setiap sesi rawatan hemodialisis, dua jarum akan dimasukkan ke dalam urat darah melalui fistula.
Ini mungkin akan memberi sedikit rasa sakit.
Pesakit yang membuat peritoneal dialisis menggunakan tiub di perut tidak akan merasa sakit.
Setiap individu akan mengalami perasaan yang berbeza ketika menjalani rawatan.
Adakah saya boleh memberhentikan rawatan dialisis pada hari yang saya berasa kurang sihat?
Jangan berhenti rawatan secara tiba-tiba.
Sekiranya anda tidak sihat, maklumkan kepada anggota perawat dialisis untuk tindakan selanjutnya.
Anda mungkin akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan segera dan rawatan lanjutan.
Sekiranya anda menghadapi masalah pengangkutan dan tidak dapat hadir ke sesi rawatan, sila hubungi anggota perawat melalui telefon dengan segera.
Bolehkah saya mengembara/melancong sekiranya menjalani rawatan dialisis?
BOLEH.
Kebanyakan pesakit masih boleh lagi mengembara/melancong mengikut minat masing-masing.
Lebih daripada itu, kualiti hidup amatlah penting kerana ini merupakan sebahagian matlamat rawatan.
Kebebasan bergerak atau mobilisasi sebenarnya merupakan pendorong utama kepada pesakit untuk meneruskan rawatan dialisis.
Ketika badan uzur dan tidak sihat, rawatan dialisis adalah efektif untuk menghilangkan sebahagian daripada gejala ini.
Walaubagaimana pun, pesakit perlu membuat perancangan dengan teliti bersama dengan doktor.
Perlukah saya berhenti untuk meneruskan senaman kegemaran saya selepas memulakan rawatan dialisis?
TIDAK PERLU.
Anda digalakkan untuk meneruskan senaman harian demi menjaga kesihatan.
Rawatan ideal meliputi mengekalkan gaya hidup aktif, kerana ini akan memberi dorongan serta kekuatan kepada pesakit.
Selain daripada itu, senaman boelh meningkatkan kepuasan berehat dan tidur lena dikalangan pesakit yang mengalami kesukaran untuk tidur.
Ubahsuai senaman mengikut kemampuan anda dan selalu bertanya dengan doktor.
Adakah saya perlu menjaga pemakanan harian sekiranya sudah melakukan dialisis?
MESTI.
Namun, ini tidak bermaksud anda tidak boleh menjamu selera dengan makanan yang sedap.
Pengubahsuaian pemakanan adalah amat penting demi memastikan tahap kesihatan yang optima.
Penjagaan pemakanan sepatutnya bermula sebelum menjalani rawatan dialisis, dengan mengikut panduan nasihat doktor ataupun pakar dietitik.
Pesakit yang menjalani rawatan dialisis perlu memberi perhatian ke atas pengambilan nutrien penting seperti protein dan kawalan garam galian seperti natrium (sodium), kalium (potassium), dan fosforus.
Ketidakseimbangan nutrisi dan garam galian ini akan menganggu rawatan dan juga tahap kesihatan anda.
Adakah pesakit buah pinggang kronik perlu mengambil suplemen?
TIDAK perlu mengambil suplemen.
Ikuti nasihat doktor yang merawat anda.
Makan makanan yang seimbang mengikut keperluan anda.
Dapatkan nasihat daripada pakar dietitik yang bertauliah.
Bolehkah wanita hamil semasa menjalani rawatan dialisis?
Pelbagai masalah atau komplikasi boleh berlaku kepada ibu mengandung dan juga anak dalam kandungan sekiranya anda adalah seorang pesakit buah pinggang kronik atau pun sedang melakukan rawatan dialisis.
Risiko dan kadar kelahiran bayi adalah berbeza di atara individu.
Sila berbincang dengan pakar nefrologi dan pakar obstetrik bersama pasangan untuk membuat perancangan dengan lebih teliti.
Rawatan Konservatif
Apa itu rawatan konservatif?
Rawatan konservatif adalah salah satu pilihan selain rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Matlamat rawatan ini adalah bertujuan untuk menjalani kehidupan sebaik mungkin dangan kualiti yang optimum.
Ianya merangkumi merawat gejala, memelihara fungsi buah pinggang yang sedia ada, memberi sokongan rawatan ubatan dan holistik (sosial dan psikologi) bila diperlukan dan membuat perancangan masa hadapan.
Kenapa pilih rawatan konservatif?
Bukan semua pesakit sesuai dengan rawatan dialisis disebabkan oleh beberapa faktor kesihatan seperti penyakit jantung yang teruk, dementia, serta memerlukan bantuan untuk aktiviti kehidupan seharian.
Menjadikan dalam keadaan ini, rawatan dialisis tidak memperbaiki kualiti hidup atau memanjangkan jangkahayat.
Rawatan konservatif juga adalah untuk pesakit yang tidak mahu menjalani rawatan dialisis.
Keputusan ini perlu dibincangkan bersama doktor dan memerlukan sokongan penuh ahli keluarga.
Apa yang saya boleh harapkan jika memilih rawatan konservatif?
Rawatan konservatif bertujuan untuk mencapai harapan anda dengan sebaik mungkin.
Anda perlu sentiasa berbincang dengan doktor mengenai harapan Rawatan komprehensif akan diberikan termasuk untuk mengelakkan komplikasi yang memerlukan rawatan secara kecemasan atau kemasukan ke hospital.
Doktor akan sentiasa memberi rawatan ubatan untuk melegakan gejala anda.
Berapa lama jangkahayat seseorang yang memilih rawatan konservatif?
Setiap individu adalah berbeza, bergantung kepada fungsi buah pinggang dan komplikasi yang sedia ada, dan pelbagai beberapa faktor lagi.
Jika saya memilih rawatan konservatif, bolehkah saya bertukar fikiran?
BOLEH.
Namun,jika anda lewat memilih rawatan dialisis atau transplan.
Kemungkinan besar keadaan kesihatan anda tidak lagi mengizinkan untuk rawatan ini.
Berbincang dengan untuk kesesuaian rawatan dan pilihan anda.
Adakah saya boleh berterusan berjumpa dengan doktor walaupun tidak memilih rawatan dialisis atau transplan?
BOLEH.
Anda mesti diberikan ubat-ubatan untuk mengawal gejala yang disesuaikan dengan keadaan anda. Rawatan susulan dan temujanji doktor perlu dikekalkan.
Jika anda tidak sihat untuk temujanji, berbincanglah dengan doktor mengenai rawatan sesuai pada masa tersebut.
Jika saya memilih rawatan konservatif, apakah yangperlu saya lakukan jika mempunyai masalah kesihatan?
Rawatan konservatif merangkumi aspek holistik iaitu sosial, psikologi, emosi dan fizikal.
Jika anda ada masalah, berjumpalah dengan pengamal perubatan dan kami akan memberi nasihat kesihatan untuk membantu anda.
Anda mungkin dirujuk ke pasukan lain (contohnya perubatan paliatif) untuk membantu mengurangkan gejala anda.